Misteri Muzium Perang Pulau Pinang

hantu gantu

Ceritakisahdunia.web.id – Sejarah misterius pelbagai versi yang sering dilihat di bibir pelawat tidak benar-benar ilusi, tetapi kebenaran yang menjadikan muzium perang terbesar di Asia Tenggara salah satu tarikan pelancong di Malaysia.

Kubu perang berkeluasan lapan hektar yang dibina tentera British pada tahun 1930-an itu menjadi pengukuh benteng keselamatan tentera negara itu berikutan lokasinya yang strategik dan bebas dari ancaman musuh.

Dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan canggih seperti meriam, terowong rahsia dan pejabat logistik, kubu ini bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, Tanah Melayu diserang tentera Jepun pada tahun 1941 menyebabkan tentera British melarikan diri selepas meletupkan kubu perang terbabit supaya rosak dan tidak boleh digunakan oleh tentera Jepun.

Pengarah Muzium, Johari Shafie mengakui kubu pertahanan yang sudah berusia 85 tahun itu menyimpan seribu satu rahsia misteri sehingga kini.

“Kalau nak diikutkan, memang banyak cerita seram yang dialami pengunjung yang melawat ke muzium ini.

“Saya sendiri sering kali berhadapan dengan situasi pelik tapi benar.

“Mendengar siulan tanpa kelibat, ternampak imej lembaga bergambar dan suara-suara halus sudah kerap kali didengar dan dilihat 30 kakitangan yang bertugas di muzium ini.

“Lama-kelamaan kami semua sudah lali dengan situasi ini dan masing-masing meneruskan kerja seperti tiada apa-apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di muzium berkenaan baru-baru ini.

Baca juga : Aradale Asylum, Ararat, Australia

Bayangan kelawar di atas kepala

Menceritakan kembali pengalaman mistiknya di Muzium Perang Batu Maung itu, tidak lama dahulu, Johari mengakui beliau sendiri pernah jatuh sakit selepas mengarahkan pekerjanya untuk memasang lampu limpah di sebatang pohon besar pada waktu malam.

“Saya sendiri tidak sihat selama seminggu selepas itu namun selepas berubat, kesihatan saya pulih seperti sedia kala.

“Saya anggap ini cabaran yang perlu dihadapi dengan cekal bagi memastikan muzium ini terpelihara dan sentiasa dinaik taraf dari masa ke semasa bagi memuaskan hati pengunjung,” katanya.

Selain itu, beliau turut pernah ternampak bayangan seperti kelawar setinggi kira-kira 10 meter di atas kepalanya ketika sedang bermain ‘paintball’ pada waktu malam.

“Percaya atau tidak, banyak situasi berlaku di hadapan mata sendiri namun tidak mematahkan semangat untuk terus kekal di sini dan menaik taraf kemudahan yang ada dari masa ke semasa.

“Segala gangguan ditepis menggunakan cara tersendiri bagi mengatasi kesulitan yang menghalang usaha memelihara dan memulihara muzium ini,” katanya.

Tumpuan pengkaji paranormal

Terdapat 37 lokasi peninggalan sejarah boleh dilawati antaranya terowong bawah tanah, menara kawalan dan berek tentera peninggalan tentera Jepun selepas menawan kubu terbabit yang kemudiannya dijadikan tempat seksaan tahanan perang.

Penulis turut mengambil kesempatan untuk melawat semua lokasi berpandukan brosur yang diberikan di pintu masuk.

Malangnya elemen mistik yang diharapkan dapat dirasai sepanjang lawatan gagal kerana penulis tidak berjalan bersendirian, sebaliknya ditemani jurugambar bertugas.

Bagaimanapun, kedua-duanya merasa sedikit seram ketika merangkak di dalam terowong sempit dan gelap yang menjadi tempat perlindungan bawah tanah sekiranya berlaku serangan.

Johari berkata, misteri yang menyelubungi Muzium Perang Batu Maung terbabit menjadikan lokasi itu popular di kalangan pengkaji sejarah dan peminat aktiviti paranormal.

“Pengkaji paranormal dari Amerika Syarikat, Indonesia, China dan Thailand gemar ke sini untuk menjalankan kajian berhubung aktiviti mistik yang berlaku di sini,” katanya.

Tambah Johari, National Geographic turut menyenaraikan muzium ini sebagai salah satu dari 10 lokasi bersejarah paling seram di Asia.

“Saya berasakan keadaan pelik itu menjadi salah satu keistimewaan bagi pengunjung untuk datang dan merasai sendiri pengalaman misteri Muzium Perang ini.

“Sehingga kini masih banyak kisah pelik yang tidak dapat diceritakan, namun semua itu menjadi pencetus semangat saya untuk terus berusaha menaikkan nama muzium di mata dunia,” katanya.

Postingan Populer Lainnya